logo

Batalkan Saman Elegant Advisory RM218 Juta, UMNO Berjaya

KUALA LUMPUR 10 Sept-Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman RM218 juta yang dikemukakan oleh Elegant Advisory Sdn. Bhd. terhadap UMNOberhubung dakwaan gagal menjelaskan bayaran bekalan barangan dan perkhidmatan semasa Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.

Pesuruhjaya Kehakiman,Anantham Kasinater yang memutuskan demikian di kamar beliau di sini turut memerintahkan Elegant Advisory membayar kos RM10,000 kepada UMNO selaku selaku defendan dalam tempohb 14 hari bermula hari ini.

Dalam penghakimannya, Anantham menyatakan, berdasarkan pernyataan tuntutan Elegant Advisory selaku pihak plaintif, didapati tiada kontrak yang sah sama ada secara lisan atau bertulis yang dibuat antara syarikat itu dengan UMNO.

Menurutnya, walaupun dua keping invois dinyatakan dalam pernyataan tersebut, namun beliau tidak dapat menerima invois itu sebagai bukti kononnya ia mewakili kewujudan kontrak tersebut.

Apatah lagi, katanya kedua-dua invois itu tidak dikemukakan di mahkamah. Justeru itu, beliau menegaskan, tuntutan saman itu adalah remeh dan menyusahkan.

Anantham yang tidak menafikan bahawa kes itu telah menarik minat umum turut menyatakan, tuntutan itu tidak berasas kerana plaintif tidak berhak menuntut keuntungan secara tidak adil menerusi Seksyen 71 Akta Kontrak 1950.

Ini kerana, jelasnya, plaintif sendiri mengakui syarikat itu telah melantik empat pihak lain untuk membekalkan perkhidmatan dan barangan terbabit kepada defendan.

“Seksyen 71 akta itu hanya boleh dirujuk oleh pembekal barangan terbabit. Memandangkan plaintif sendiri membuat akuan bahawa barangan dan khoidmat itu dikemukakan oleh empat pihak tersebut, asas kepada tuntutan di bawah seksyen itu semestinya gagal,” katanya.

Plaintif sebelum ini menamakan bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi sebagai defendan tetapi kemudiannya dibenarkan mahkamah untuk menukarkannya kepada bekas setiausaha bahagian pentadbiran dan kewangan UMNO Datuk Ishak Abdul Rahman sebagai defendan baru.

Pada 17 JUlai yang lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan penghakiman ingkar dengan memerintahkan defendan membayar Elegant Advisory RM218 juta, selepas defendan gagal menjawab saman yang difailkan syarikat itu pada 23 Jun 2008.

UMNO bagaimanapun berjaya mengetepikan perintah itu pada 21 Januari lalu, selain mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

Sementara itu peguam defendan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun memberitahu pemberita, keputusan itu membuktikan UMNO akhirnya tidak pernah membelanjakan wang yang sebegitu banyak untuk kempen pilihanraya.