logo

DUN Selangor Melebihi Bidang Kuasa Saman Peguam

PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) — Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor melebihi bidang kuasanya apabila ia mengeluarkan saman terhadap peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk menjawap tuduhan menghina Dewan, Mahkamah Persekutuan memutuskan hari ini.

Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Selangor yang memperuntukkan penghinaan yang dilakukan di luar DUN.

Mohd Hafarizam menerima saman pada 12 April 2011, meminta beliau hadir pada perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) untuk menjawab tuduhan menghina Dewan kerana didakwa menghantar surat tuntutan bayaran kos mahkamah RM40,000 kepada Speaker DUN Selangor ketika itu, Datuk Teng Chang Khim.

Teng pada 19 Jan 2011, mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong, selepas mendakwa bekas ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah tidak hadir sidang DUN selama enam bulan tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah itu pada 18 Feb 2011 dan memerintahkan Teng membayar RM40,000 sebagai kos perundangan kepada Badrul Hisham. Mohd Hafarizam mewakili Badrul Hisham pada masa itu.

JKHK kemudiannya mendengar saman itu dan mendenda Mohd Hafarizam RM20,000 kerana menghina walaupun Mohd Hafarizam tidak hadir di hadapan jawatankuasa.

Dalam penghakimannya, Zulkefli berkata DUN harus bertindak berdasarkan perlembagaan dan kuasa undang-undang sebelum ia boleh dilindungi daripada sebarang campur tangan oleh mahkamah di bawah Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan dalam meluluskan resolusi perbuatan penghinaan yang dilakukan di luar sidang Dewan.

Beliau berkata perayu — DUN Selangor, Setiausaha Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Mohamad Yasid Bidin dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN gagal menunjukkan peruntukan yang terpakai dalam Perlembagaan negeri Selangor yang mereka putuskan ketika meluluskan resolusi untuk mengeluarkan saman terhadap Mohd Hafarizam.

“Kami lihat dalam kes ini di bawah perintah tetap Dewan dan Enakmen Penghinaan Dewan (negeri Selangor) mendedahkan, tiada peruntukan yang menetapkan untuk penghinaan yang dilakukan di luar sidang dewan,” katanya.

Zulkefli berkata sehubungan itu mahkamah berpendapat ketetapan yang dibuat terhadap peguam itu mendakwa beliau melakukan penghinaan dan merujuk Mohd Hafarizam kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN adalah tidak mengikut perlembagaan.

“Kuasa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Malaysia adalah terhad oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri masing-masing,” katanya.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Zainun Ali dan Datuk Aziah Ali sebulat suara menolak rayuan perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepada Mohd Hafarizam. Mahkamah juga memerintahkan perayu membayar RM30,000 sebagai kos perundangan kepada Mohd Hafarizam.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Mei 2011 menolak saman yang dikeluarkan terhadap Mohd Hafarizam dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 10 Feb 2014, menyebabkan perayu membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Zulkefli juga tidak bersetuju dengan hujahan perayu bahawa mereka tidak dinamakan dengan betul dalam prosiding undang-undang itu apabila perayu berhujah Mohd Hafarizam sepatutnya menamakan speaker DUN dalam saman sivilnya.

Di luar mahkamah, Mohd Hafarizam berkata alhamdulillah dan mengucapkan terima kasih kepada peguamnya, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan menambah keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini telah membersihkan namanya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kecewa dengan Majlis Peguam yang tidak menghantar wakilnya untuk kes itu kerana katanya, beliau juga adalah anggota Majlis Peguam. — BERNAMA