logo

FELDA Fail Saman Suara Keadilan RM200 Juta

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan syarikat pelaburannya, semalam memfailkan saman fitnah bagi menuntut ganti rugi RM200 juta terhadap enam defendan termasuk penerbit dan pencetak akhbar Suara Keadilan kerana didakwa menyiarkan artikel fitnah bertajuk ‘Felda Bangkrap’.

Saman itu difailkan pada jam 3.11 petang di kaunter Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini semalam, melalui Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak. FELDA dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (plaintif) menamakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Dr Syed Husin Ali, sebagai pemegang jawatan dalam PKR mengikut Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966, sebagai defendan pertama dan kedua. Plaintif menyaman PKR sebagai penerbit akhbar Suara Keadilan yang sudah tamat tempoh permit penerbitannya pada 30 Jun lalu.

Empat lagi defendan adalah penerbit akhbar itu, Pelita Koridor Sdn Bhd; pencetak, Percetakan NPK Sdn Bhd; penyunting, Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu, Rusnizam Mahat.

Plaintif menuntut ganti rugi itu termasuk ganti rugi keterlaluan, teladan, faedah 8 peratus, kos, permohonan maaf daripada defendan secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah serta relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada bercakap, menerbit atau menyebabkan penerbitan semula perkataan fitnah secara lisan atau di media cetak dan internet. Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa terbitan dan edaran dua artikel bertajuk ‘Felda Bangkrap’ dan ‘Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’ dalam edisi akhbar itu bertarikh 22-29 Jun lalu, mengandungi perkataan fitnah terhadap plaintif.

“Edisi itu diterbitkan dan diedarkan di negara ini. Defendan menerbitkan dan masih menerbitkan perkataan fitnah itu yang membawa maksud plaintif tidak berupaya membayar hutang, hutang plaintif melebihi asetnya, tidak mempunyai kelayakan kredit dan tiada sesiapa yang ingin melakukan perniagaan bersama plaintif,” katanya.