logo

FELDA Saman PKR RM200

KUALA LUMPUR: FELDA semalam mengemukakan notis menuntut Parti Keadilan Rakyat (PKR) membayar RM200 juta dan memohon maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung artikel mendakwa FELDA bankrap yang disiarkan lidah rasmi parti itu, Suara Keadilan.

Notis itu dihantar peguam FELDA, Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak kepada tiga pihak, iaitu PKR sebagai pemilik Suara Keadilan serta penerbitnya, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetaknya, Percetakan NPK Sdn Bhd.

PKR bagaimanapun, menegaskan parti itu tidak akan melayan tuntutan saman fitnah itu dan juga tidak akan memohon maaf.

Dalam notis itu, FELDA menuntut ganti rugi atas kerosakan reputasinya berikutan tuduhan itu yang disiarkan Suara Keadilan pada 22 hingga 29 Jun lalu dengan tajuk ‘FELDA BANKRAP’.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata jika ketiga-tiga pihak itu gagal memenuhi arahan notis tuntutan, peguam FELDA akan meneruskan tindakan perundangan sewajarnya, termasuk tindakan mahkamah.

Naib Presiden PKR, R Sivarasa ketika diminta mengulas mengenainya berkata, PKR sudah bersedia ke mahkamah bagi mempertahankan laporan Suara Keadilan serta mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan akhbar itu.

Ahad lalu, Ahmad dilaporkan berkata, FELDA akan menyaman Suara Keadilan berhubung laporan muka depannya kerana berniat jahat dan fitnah.

Katanya, ganti rugi RM200 juta itu tidak melambangkan kerugian reputasi yang dialami FELDA sebagai sebuah organisasi berkaitan tanah yang paling berjaya di dunia serta berjasa dalam membasmi kemiskinan di negara ini.

“Jumlah itu dikira sedikit bagi organisasi seperti FELDA kerana jika tuntutan ganti rugi oleh individu, ia boleh mencecah dalam lingkungan RM100 juta namun jumlah dituntut (RM200 juta) adalah dianggap wajar,” katanya.

Ahmad berkata, FELDA mempunyai kepentingan pelaburan di luar negara termasuk Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Pakistan, Australia, Thailand, Perancis, India dan Arab Saudi.

Selain itu katanya, jumlah peneroka seramai 225,270 di 317 tanah rancangan dengan kira-kira 1.6 juta generasi baru, sementara Kumpulan FELDA mempunyai kira-kira 23,000 petugas syarikat berkaitan dan 40,000 pekerja kontrak ladang.

Ditanya sama ada tuntutan ganti rugi sebesar itu bertujuan memberi pengajaran kepada Suara Keadilan, Ahmad berkata, ia adalah sebahagian daripadanya dan supaya akhbar itu tidak digunakan untuk menyebar fitnah.

“Motifnya (laporan) adalah untuk memburukkan reputasi FELDA dan pemimpin yang menjaga FELDA termasuk Perdana Menteri,” katanya.

-Berita Harian