logo

Jadikan Realiti Bukan Kosmetik

PERHIMPUNAN Agung UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula pada Isnin lalu dan berakhir Jumaat lalu dianggap bersejarah.

Ia dikatakan detik permulaan kepada usaha UMNO untuk bangkit semula selepas mengalami tamparan hebat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Persoalannya mampu perubahan yang dilakukan oleh UMNO termasuklah dari sudut pindaan perlembagaan dalam sistem pemilihan parti tersebut akan membolehkan ia kembali mendapat tempat di hati rakyat terutamanya generasi muda.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID mengadakan perbincangan dengan tiga individu yang mempunyai latar belakang berbeza.

Mereka ialah Penganalisis politik, PROF. DR. MOHAMED MUSTAFA ISHAK, Bendahari Wanita UMNO Perlis, DR. SORAYA DATUK SERI AZMI dan Penasihat Undang-undang UMNO, DATUK MOHD. HAFARIZAM HARUN.

Ketiga-tiga mereka memberikan pandangan masing-masing dalam kapasiti sebagai pemerhati, ahli UMNO dan generasi muda.

MINGGUAN: Apakah pandangan anda mengenai kebangkitan perubahan yang dilakukan oleh UMNO?

MOHAMED MUSTAFA: Ia adalah satu usaha UMNO untuk menguruskan persepsi dan menangani realiti. Persepsi yang wujud sekarang ialah UMNO adalah sebuah parti yang dibelenggu dengan pelbagai masalah berkaitan integriti. UMNO dilihat dipenuhi dengan mereka yang mengamalkan rasuah, politik wang, beli undi dan sebagainya. Ia juga dilihat seolah-olah parti yang terputus atau renggang jauh daripada masyarakat di bawah.

Ini persepsi yang ada, jadi persoalannya bagaimana UMNO hendak menangani persepsi itu? Persepsi harus dihadapi dengan persepsi kerana ia bukanlah realiti tetapi jika ia tidak diubah UMNO akan selama-lamanya dibelenggu dengan tanggapan-tanggapan yang salah.

Sebab itu pindaan perlembagaan yang cuba dibawa oleh UMNO bertujuan untuk memastikan parti itu tidak lagi elitis sebaliknya demokratik. Kedua, untuk menggambarkan UMNO adalah parti yang betul-betul dapat menangani masalah rasuah dan beli undi melalui memperluaskan penyertaan politik dan kuasa memilih pemimpin tidak terhad kepada 2,500 orang perwakilan, sebaliknya kepada 146,000 ahli UMNO.

MOHD HAFARIZAM: Disebabkan latar belakang saya sebagai seorang peguam dan juga penasihat undang-undang UMNO, saya melihat kebangkitan perubahan UMNO ini dari perspektif perlembagaan adalah amat baik.

Ini kerana sejak saya terlibat dalam UMNO sejak tahun 2000 lagi dan dalam lembaga disiplin banyak aduan yang saya terima berkait kepada isu kuota. Ia juga berkait dengan persaingan sengit untuk menjadi perwakilan bahagian untuk ke perhimpunan agung. Jadi dengan pindaan perlembagaan ini saya lihat ia sebagai satu platform perubahan yang sedang dibawa oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

DR. SORAYA: Saya melihat apa yang dilakukan oleh Najib adalah satu tindakan yang konkrit untuk menggerakkan UMNO ke hadapan supaya parti ini menjadi lebih telus seperti membasmi masalah politik wang. Ini adalah satu tindakan untuk membawa UMNO ke arah baru memandangkan parti itu sekarang berhadapan dengan waktu yang kritikal.

Ia juga mampu menarik usaha yang lebih dari peringkat bahagian dan cawangan dengan membuka pintu pemilihan jawatan tertinggi lebih terbuka kepada 146,000 ahli.