logo

Mahkamah tolak permohonan portal berita lucut kelayakan hakim

PUTRAJAYA: Pemilik portal berita sekali lagi gagal melucutkan kelayakan hakim Mahkamah Tinggi atas alasan berat sebelah daripada mendengar saman fitnah difailkan perdana menteri dan Umno berhubung surat pembaca yang diterbitkan di laman web mereka pada 2014.

Mahkamah Rayuan panel 3 hakim yang diketuai Datuk David Wong Dak Wah berkata Mkini Dotcom Sdn Bhd dan 2 editor Malaysiakini belum sampai ke tahap berdepan bahaya dengan kewujudan situasi berat sebelah.

“Rayuan dibatalkan,” kata Wong yang juga menganugerahkan RM5,000 sebagai kos kepada Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh.

Peguam Mohd Hafarizam Harun yang mewakili kedua-duanya, sebelum ini memberitahu panel hakim Datuk Kamaludin Md Said tidak prejudis kerana beliau tidak terlibat dalam pengantaraan bagi membenarkan pihak menyelesaikan saman itu di luar mahkamah.

Beliau berkata, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dengan budi bicara mutlak membenarkan Kamaludin mendengar saman itu walaupun hakim dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Seremban.

“Sebagai seorang hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Kamaludin boleh mendengar kes itu walaupun beliau dipindahkan ke bandar lain tetapi dalam bidang kuasa yang sama,” katanya.

Hafarizam memberitahu pemberita, pengurusan kes akan diadakan di hadapan Kamaludin di Seremban pada Jumaat.

“Plaintif (Najib dan Rauf) juga memohon membatalkan pembelaan Mkini Dotcom dan memasukkan penghakiman tanpa perbicaraan,” katanya.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar berhujah terdapat berat sebelah daripada pandangan orang biasa seperti mengapa Kamaludin dibenarkan mendengar kes itu yang kini di peringkat awal prosiding.

Najib dan Umno menyaman Mkini Dotcom, Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan, bekas ketua pengarang Fathi Aris Omar kerana kompilasi pembaca komen dalam 2 artikel bagi ruangan “Yoursay” yang disiarkan pada 14 Mei, iaitu “A case of the PM reaping what he sows} dan “How much will Najib spend to keep Terengganu?”.

Mereka mendakwa portal berita pada 14 Mei 2014 mencemar reputasi mereka yang Umno tidak cekap sebagai badan politik dan tulang belakang kepada Barisan Nasional.