logo

Pemimpin Diingat Bersikap Berkecuali

pemimpin_diingat_rKUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin UMNO semalam mengingatkan mereka yang mempunyai kuasa dalam UMNO di peringkat mana sekalipun supaya bersikap berkecuali dan tidak memberi sebarang petunjuk yang memihak kepada calon tertentu ketika pemilihan jawatan semua peringkat dalam parti.

Pengerusinya Lembaga Disiplin UMNO , Tan Sri Tengku Ahman Rithauddeen Tengku Ismail mendedahkan ada Ketua Perhubungan UMNO negeri, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Puteri di peringkat Bahagian memberi hadiah kepada ahli dengan mesej memilih perwakilan tertentu ketika pemilihan.

Katanya, Lembaga Disiplin mengesan perkara itu daripada keterangan yang diberikan saksi ketika siasatan aduan politik wang tetapi tidak dapat mengambil tindakan kerana laporan khusus mengenai perkara berkenaan.

“Kita hanya dapat tahu dakwaan itu apabila dibangkitkan ketika perbicaraan kes lain. Kita mahu aduan mengenai perkara itu dibuat untuk membolehkan lembaga ini menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau memihak…sama ada ikan kecil atau ikan besar.”

“Semua yang berkuasa dalam parti mesti berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana calon,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti di sini semalam.

Beliau juga berkata, perbuatan mengedarkan senarai nama pilihan bagi mengisi sebarang jawatan ketika pemilihan dengan tujuan supaya perwakilan memilih calon berkenaan itu adalah menyalahi tata etika UMNO.

Katanya, prekära itu tidak adil kepada pihak lain yang bertanding yang nama mereka tidak termasuk dalam senarai itu.

“Ini tidak sihat dan saya harap tidak akan berlaku pada pemilihan akan datang. Jika berlaku kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau juga berkata, UMNO akan membentuk pasukan siasatan yang dianggotai ahli Lembaga Disiplin bagi menyiasat dan mengumpulkan bukti terhadap sebarang aduan sebelum membawa kes berkenaan kepada tribunal lembaga bagi perbicaraan.

Katanya, perkara berhubung pindaan peraturan untuk membolehkan pasukan penyiasatan itu dibentuk sedang diteliti Pengerusi Jawatankuasa Pindaan dan Peraturan parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penubuhan pasukan siasatan akan dapat menjimatkan masa perbicaraan oleh tribunal kerana hanya kes prima facie hasil siasatan pasukan penyiasat itu akan dibawa untuk didengar tribunal.